EAQC’S founder, Harbans Singh receives the Best Consultant award.
KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) — Kontraktor gred G7 dinasihatkan tidak menunggu sehingga saat-saat akhir untuk mendapatkan persijilan ISO 9001:2000, kata pemenang Anugerah Perunding Terbaik, Harbans Singh, hari ini.
“Jangan tunggu sehingga tempoh akhir pada hujung tahun, rebut peluang sekarang kerana persijilan mungkin mengambil masa enam hingga sembilan bulan untuk diperoleh,” katanya yang juga merupakan perunding utama East Asia Quality Consultants (M) Sdn Bhd (EAQC).
Harbans berkata demikian kepada Bernama susulan pekeliling oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang mensyaratkan kontraktor Gred G7 – kedudukan paling tinggi dalam industri pembinaan negara – mendapatkan persijilan ISO 9001:2000 berkuatkuasa 1 Jan, 2009.
Menurut pekeliling itu bagi kontraktor yang persijilan ISO 9001:2000 ditarik balik akan diberikan tempoh enam bulan untuk mendapatkannya semula sebaik sahaja ia diwajibkan, manakala bagi yang gagal mendapatkannya akan diturunkan ke gred berkaitan.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Samy Vellu, yang menyampaikan anugerah di majlis penghargaan kepada kontraktor yang memperoleh persijilan ISO 9001:2000 di bawah skim CIDB, juga menggesa mereka mendapatkannya lebih cepat kerana setakat ini hanya 10 peratus daripada kontraktor Gred G7 di negara ini mempunyai persijilan tersebut.
Harbans berkata alasan mengapa sejumlah besar kontraktor ini masih belum mendapatkan persijilan ialah kerana sesetengah daripada mereka tidak aktif dan separuh daripadanya tidak mempunyai projek. Ketika ini terdapat kira-kira 4,000 kontraktor Gred G7 di negara ini. Harbans berkata cabaran utama bagi kontraktor ini ialah untuk mengekalkan persijilan dan bukan untuk mendapatkannya.
Sementara itu apabila ditanya mengenai kemenangannya merangkul Anugerah Perunding Terbaik, Harbans, graduan Universiti Kebangsaan Malaysia berkata ia membuktikan kepakaran EAQC dalam ISO 9001:2000.
EAQC, perintis dalam perkhidmatan perunding dan latihan di Malaysia ditubuhkan pada 1993 dan mengkhususkan dalam sistem pengurusan kualiti (ISO 9001), akreditasi makmal (ISO/EC17025), teknikal dan kejuruteraan, pengurusan sumber manusia, keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSHAS 18001) dan sistem pengurusan alam sekitar (ISO 14001).
Sejak ditubuhkan ia memiliki 500 pelanggan dari sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan serta agensi kerajaan dan makmal ujian.
Kristy Inus
Bernama.com
PREVIOUS